Rabu, 15 Oktober 2014

5.1 Kebaikan dan Keburukan



Kebaikan Internet
1      Perkongsian Maklumat
Pelbagai maklumat dapat dikongsi dan diperolehi dengan hanya melayari internet tanpa dikenakan sebarang bayaran dan had masa.  Maklumat yang diperolehi bukan sahaja dalam bentuk teks tetapi juga dalam bentuk grafik. Pelayar sesawang hanya perlu menggunakan enjin carian untuk mendapatkan maklumat yang mereka inginkan sama ada digunakan untuk pembelajaran, kajian, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Di internet, terdapat banyak enjin carian dan google.com, search.com dan yahoo.com adalah beberapa contoh enjin carian yang lazim digunakan.

2      Alat Komunikasi
Internet telah dijadikan sebagai platform untuk berkomunikasi.  Internet merupakan alat komunikasi yang amat mudah dan tanpa memerlukan kos yang tinggi. Penggunaan messenger seperti Yahoo, Skype, Gtalk dan Hotmail telah memudahkan lagi komunikasi antara pelbagai pihak dan penggunaanya amat meluas.  Selain berkomunikasi dengan menggunakan teks, penggunaaannya telah dipertingkatkan lagi dengan penggunaan suara dan video yang membolehkan kita berkomunikasi dengan menggunakan suara sambil melihat wajah masing-masing hanya dengan menggunakan internet.  Alat komunikasi ini juga amat berguna kepada syarikat-syarikat yang mempunyai cawangan di serata dunia.  Komunikasi antara setiap cawangan seluruh dunia dapat dijalankan hanya menggunakan Video Conferencing atau Tele-conference.

3      Jimatkan Kos dan Masa
Penggunaan internet ini secara tidak langsung telah menjimatkan kos seperti kos panggilan telefon dan kos pengangkutan. Bagi penjimatan kos panggilan misalnya, kebiasaannya kos panggilan ke antarabangsa dengan menggunakan telefon analog amat mahal jika dibandingkan dengan penggunaan skype yang tidak mengenakan sebarang caj.  Manakala penggunaan voice over internet protocol (VOIP) ternyata caj yang dikenakan jauh lebih murah berbanding kos panggilan biasa.  Penjimatan kos pengangkutan ketara dapat dilihat di syarikat-syarikat besar yang mempunyai cawangan di seluruh dunia. Mesyuarat atau perbincangan dapat dilakukan hanya dengan menggunakan video conference atau tele-conference.  Mereka tidak perlu mengembara ke serata tempat untuk bermesyuarat.   

4      Berita Terkini
Penggunaan internet telah memudahkan berita terkini disampaikan dengan cepat.  Kebanyakan surat khabar mempunyai laman web sendiri seperti The Star dan CNN. Laman web ini sentiasa dikemas kini dan memaparkan berita terkini yang berlaku di seluruh dunia.

5      Promosi
Internet dijadikan alat untuk mengiklan produk untuk sesebuah syarikat.  Internet bukan sahaja murah malah lebih berkesan kerana boleh diakses di seluruh dunia. Terdapat syarikat yang menawarkan program berkembar yang amat berkesan dan murah untuk mengiklankan produk sesebuah syarikat atau orang perseorangan.

6      Hiburan
Terdapat pelbagai bentuk hiburan boleh dinikmati hanya dengan melayari internet.  Kita boleh menonton secara dalam talian dengan hanya melayari pelbagai laman web yang menyediakan perkhidmatan tersebut seperti http://www.youtube.com dan http://www.mysoju.com. Selain itu, terdapat juga permainan (games) yang boleh dimainkan secara dalam talian bersama-sama dengan gamers dari serata dunia. Melalui internet terdapat juga hiburan lain seperti mendengar muzik dan berinteraksi dengan kawan-kawan baru di alam maya.

7      Pendidikan Secara Dalam Talian
Pada masa kini terdapat banyak universiti yang telah menawarkan pendidikan secara jarak jauh yang memerlukan perkhidmatan internet. Pelajar tidak perlu menghadiri kuliah secara fizikal kerana kuliah dilakukan secara dalam talian dan pelajar hanya mengaktifkan video conference untuk menghadiri kuliah. Nota pembelajaran boleh dimuat turun secara dalam talian, kuliah boleh direkodkan dan pelajar boleh mendengar kuliah tersebut secara berulangkali. Disamping itu, keputusan peperiksaan juga boleh diperolehi secara dalam talian.

8      Perkhidmatan
Pada masa kini syarikat-syarikat seperti syarikat perbankan, penerbangan, bas, hotel dan agensi pelancongan menawarkan perkhidmatan secara atas talian bagi memudahkan pengguna.  Contohnya, Maybank2u menawarkan perkhidmatan perbankan secara atas talian dan para pemegang akaun Maybank boleh menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan tanpa memerlukan caj yang berlebihan. Begitu juga dengan syarikat penerbangan, para pengguna boleh menempah tiket penerbangan secara atas talian pada bila-bila masa.

9      Sosial
Laman sosial ialah alat untuk berkongsi dan berhubung dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia secara maya. Antara laman sosial yang popular ialah Facebook, Twitter, Google+ dan Instagram.  Melalui laman sosial, pengguna dapat berhubung dengan rakan-rakan lama, mewujudkan kumpulan-kumpulan pengguna daripada minat dan hobi yang sama dan mengemaskini aktiviti-aktiviti semasa dengan cepat dan berkesan.


5.1.2 Keburukan Internet

1.    Ketidaktepatan Maklumat
Terdapat banyak maklumat yang boleh kita perolehi dari internet.  Namun demikian, adakah semua maklumat tersebut tepat?  Bagaimana kita hendak memastikan sama ada maklumat yang kita terima itu tepat ataupun tidak? Ini memang boleh mengelirukan malah memberi impak yang besar kepada sesetengah pihak.  Terdapat pelbagai golongan yang menggunakan internet dan menyebarkan maklumat mengikut kepentingan diri masing-masing. Ada yang menggunakan internet untuk menabur fitnah bagi tujuan menjatuhkan pihak tertentu. Oleh yang demikian, kita mestilah bijak menilai kesahihan sesuatu maklumat yang diterima.

2.    Virus/Malware/Worm/Trojan
Internet merupakan salah satu sumber yang digunakan untuk menyebarkan segala virus, malware, worm atau trojan.  Pengguna internet perlu mempunyai pengetahuan tentang serangan virus, malware, worm atau trojan untuk memastikan komputer yang digunakan selamat daripada serangan virus dan data selamat daripada diceroboh. Kekurangan ilmu pengetahuan tentang cara-cara menghindari komputer kita daripada serangan virus akan memudahkan komputer tersebut diceroboh. Virus, malware, worm atau trojan ini bukan sahaja menyerang sebuah komputer malah boleh menyerang komputer yang terdapat dalam rangkaian yang sama. Serangan ini akan menyebabkan kerosakan kepada sistem komputer seterusnya akan menganggu prestasi komputer dan juga rangkaian.


3.    Bahan-Bahan yang Tidak Bermoral
Pada masa kini terdapat banyak bahan-bahan yang tidak bermoral seperti gambar-gambar dan video-video yang tidak sesuai ditonton oleh golongan kanak-kanak dan remaja.  Bahan-bahan ini memberi impak yang tidak baik kepada masyarakat secara umumnya. Bahan-bahan begitu mudah didapati di internet. Ibu bapa hendaklah memantau laman-laman web yang diakses oleh anak-anak mereka dan sekiranya perlu, perisian penapisan internet seperti Norton Family, DNS Angel, Bitdefender, Parental Controls, Family Safety dan lain-lain, perlulah dipasang di komputer yang digunakan oleh anak-anak mereka. Ini bagi memudahkan ibu bapa untuk memantau laman-laman web yang diakses oleh anak-anak mereka.

4.    Isu Keselamatan
Pernahkah kita terfikir maklumat peribadi kita yang terdapat di bank, sekolah, universiti, jabatan-jabatan kerajaan selamat daripada diakses oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab?  Bagaimanakah tahap keselamatan yang terdapat di dalam pelayan-pelayan yang menyimpan data-data kita?  Pelayan yang mudah digodam oleh para penggodam boleh menyebabkan segala maklumat peribadi dan data-data sulit jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab.  Tahap keselamatan dalam mengakses ke pelayan dan sistem sekuriti rangkaian haruslah dipertingkatkan serta dikemaskini dari semasa ke semasa.

5.    Pembaziran Masa dan Melalaikan
Pembaziran masa berlaku sekiranya terlampau lama bermain permainan dalam talian, sembang maya dan melayari laman-laman yang tidak berfaedah.  Aktiviti-aktiviti ini boleh dilakukan tetapi masa yang diperuntukkan mestilah dihadkan.  Laman sosial facebook sahaja mempunyai pelbagai aplikasi yang boleh diguna seperti permainan dan sembang maya.  Sesetengah syarikat menyekat akses ke laman tersebut kerana boleh mengurangkan produktiviti pekerja terhadap kerja mereka.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan